20 tips meramaikan peminat page Facebook
Semakin hari semakin ramai pengguna Facebook membuat fan page masing-masing terutamanya mereka yang terlibat dengan dunia perniagaan. Jika dahulu hanya golongan artis dan selebriti yang menggunakan Facebook untuk mengumpulkan para peminat mereka, kini fan page digunakan secara meluas termasuk dalam bidang perniagaan.
Bagi artis, mereka menggunakan Facebook untuk berkumpul dan bersosial dengan peminat. Mereka memanfaatkan peluang yang ada dalam Facebook untuk berinteraksi dengan peminat yang ramai. Sebagai contoh, Lisa Surihani merupakan antara artis Malaysia yang paling ramai peminat di Facebook dengan hampir 3 juta orang.
Namun, bagi perniagaan, kita bermula dengan seorang sahaja peminat, iaitu diri kita sendiri. Jadi bagaimana nak memanfaatkan Facebook page ini jika tidak ada peminat?
Berikut adalah antara 20 tips yang boleh anda cuba untuk meramaikan lagi peminat page anda.
1. Lengkapkan Profil
– Isi dan lengkapkan profil page anda sepenuhnya. Tuliskan penerangan mengenai perniagaan anda dengan jelas, tidak terlalu panjang tetapi jangan terlalu ringkas. Muatkan kata kunci yang berkaitan dengan perniagaan anda. Profil yang lengkap menunjukkan bahawa anda serius dan profesional serta meningkatkan peluang untuk diindekskan dengan lebih baik di dalam enjin carian Facebook dan Google.
2. Luangkan Masa
– Untuk menjaga Facebook page, anda tidak perlu berada 24 jam sehari di depan komputer. Sekurang-kurangnya sekali sehari untuk membuat posting baru serta menjawab sebarang persoalan yang ditimbulkan oleh peminat anda. Jika ada orang posting sesuatu, jawab dan layanlah dengan baik. Anda juga boleh membuat posting ringkas melalui telefon pintar atau memuat naik foto tertentu. Beberapa minit di sebelah pagi, petang, dan malam sudah cukup.
3. Lantik Admin
– Jika page anda semakin sibuk atau anda sendiri sudah tidak cukup masa nak layan, lantiklah admin dari kalangan kakitangan atau rakan niaga yang boleh dipercayai supaya mereka boleh sama-sama menguruskan page tersebut.
4. Tawan Hati Peminat
– Gunakan ayat atau grafik “call to action” yang menarik untuk mendorong para pengguna mengklik butang “Like” page anda.
5. Dapatkan URL Khas
– Apabila peminat anda sudah melebihi 30 orang, anda akan diberi kemudahan untuk memilih URL khas bagi page anda. Ini memberikan kelebihan dari segi penjenamaan dan imej yang lebih baik.
6. Gunakan URL Khas
– Setelah anda mempunyai URL khas, gunakanlah ia sebagai sebahagian daripada pengenalan diri anda. Masukkan URL tersebut bersama nombor telefon, emel, dan laman web anda dalam mana-mana bahan promosi bercetak seperti flyers, banner, iklan dalam surat khabar, iklan online, dan lain-lain.
7. Guna Facebook Ads
– Anda boleh percepatkan proses mencari peminat dengan mengiklankan page anda menggunakan kemudahan yang ada dalam Facebook. Walau bagaimanapun, anda memerlukan bajet yang mencukupi dan bersedia untuk menggunakan kad kredit.
8. Kembangkan Rangkaian
– Facebook boleh membantu anda menjemput rakan-rakan anda jika anda mempunyai emel mereka walaupun mereka belum menjadi rakan Facebook anda. Sehingga 5,000 rakan boleh dijemput dalam satu-satu masa. Gunakan ciri-ciri Find Friends dan Import Contacts dalam page anda.
9. Kongsi Cerita Menarik
– Cari dan kaji apa yang menarik minat pembaca tentang perniagaan anda. Jangan masukkan ayat-ayat promosi dalam perkongsian seperti ini, sebaliknya hanya info berguna. Para peminat tentu lebih menghargainya.
10. Kongsi Fakta Berkaitan
– Selain cerita, kongsi juga fakta-fakta yang menarik dan berkaitan dengan perniagaan anda. Contohnya jika anda di dalam perniagaan hartanah, anda boleh kongsi maklumat seperti Kadar Asas Pinjaman yang dikeluarkan oleh Bank Negara atau polisi-polisi baru yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan.
11. Tawaran Bermusim
– Buatlah tawaran khas contohnya potongan harga sempena perayaan atau acara tertentu. Fikirkan secara kreatif untuk menarik perhatian pelanggan.
12. Akaun Twitter
– Pautkan akaun Twitter anda kepada Facebook supaya status dapat dikemaskini serentak di kedua-dua tempat serta membawa pelanggan berpotensi dari laman Twitter ke Facebook.
13. Guna Media Sosial Lain
– Selain Twitter, anda juga boleh guna media sosial lain untuk menghebahkan tentang aktiviti-aktiviti di page, antaranya ialah dengan menggunakan LinkedIn, Instagram, TikTok, dan lain-lain.
14. Laman Web
– Jika anda ada blog atau laman web lain, letakkan Like Box page anda ke dalam laman tersebut supaya para pengunjung yang datang ke laman web anda tahu kewujudan page berkenaan dan klik Like.
15. Guna Facebook Insights
– Insights adalah satu alat yang sangat berguna disediakan oleh Facebook untuk memantau perkembangan page. Insight akan memberikan data statistik harian mengenai berapa ramai pengguna yang Like page anda, jumlah orang yang berbincang mengenai page serta jumlah orang yang share posting yang anda buat.
16. Jangan Spam
– Jangan sesekali anda spam page Facebook anda sendiri. Bila anda membuat posting dalam page, jangan asyik hendak mengiklankan sesuatu, sebaliknya beri lebih tumpuan kepada perkongsian sesuatu yang berguna seperti tips, ilmu baru, cerita atau aktiviti perniagaan.
17. Guna Tab Tambahan
– Anda boleh tambah Tab di dalam Facebook page untuk menyusun atau menstrukturkan kandungannya. Ia juga akan memudahkan pengguna mengakses maklumat atau kandungan yang telah anda kategorikan dengan lebih berkesan dan mudah.
18. Sorokkan Wall Page
– Anda boleh sorokkan dahulu page daripada mereka yang belum Like. Bila klik Like barulah isi kandungan yang sebenar dipaparkan, dengan cara itu pengguna akan secara paksa-rela mengklik butang Like. Semasa di landing page, nyatakan apa kebaikan atau kelebihan yang pengguna akan dapat sekiranya mereka Like page anda.
19. Masukkan Video
– Anda boleh gunakan video untuk menarik lebih ramai peminat mengklik Like. Hasilkan sebuah video, muat naik ke YouTube dan letak di landing page atau mana-mana page yang perlu.
20. Guna Facebook Apps
– Terdapat pelbagai aplikasi yang dibangunkan oleh pihak ketiga untuk memberi kemudahan kepada pemilik page untuk mengembangkan lagi kepenggunaannya. Anda boleh masukkan sign-up form, shopping cart, dan banyak lagi. Ada yang berbayar dan ada yang percuma.
Selamat maju jaya dengan page Facebook anda!