Boost Bank Lancar Aplikasi Baharu: Manfaat 10 Juta Pengguna
Boost Bank kini secara rasmi melancarkan aplikasi Boost Bank dengan pengalaman onboarding terbenam pertama yang kini dibuka untuk semua.
Ketua Pegawai Eksekutif Boost Bank, Fozia Amanulla, menyatakan bahawa kerjasama unik antara Boost dan RHB Banking Group (RHB) menjadikan Boost Bank sebagai bank digital pertama di pasaran yang menggabungkan inovasi teknologi fintech dengan kepercayaan dan kestabilan institusi kewangan besar.
Fozia menambah, Boost Bank adalah antara sedikit bank di Malaysia yang membolehkan pengguna yang tidak mempunyai akaun bank untuk melakukan transaksi perbankan secara digital.
“Matlamat kami adalah untuk memenuhi keperluan masyarakat yang kurang atau tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan. Kami menjangkakan Boost Bank akan memberi manfaat kepada 10 juta pelanggan individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menggunakan Boost setakat ini,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran Boost Bank baru-baru ini.
Pelancaran ini dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Fozia juga menyatakan, dengan menggabungkan teknologi canggih Boost dan reputasi kukuh RHB Banking Group, Boost Bank menawarkan perkhidmatan perbankan yang diintegrasikan dengan mudah dan boleh diakses oleh semua pengguna.
“Bagi kami, memberi manfaat kepada pelanggan dan memahami keperluan mereka adalah keutamaan dalam merancang aplikasi Boost Bank,” katanya.
Salah satu ciri unik Boost Bank adalah pengguna Premium Wallet yang sedia ada di aplikasi e-dompet Boost boleh membuka akaun Boost Bank dengan mudah melalui proses onboarding yang lancar.
Selain daripada ekosistem sedia ada, Boost Bank juga akan bekerjasama dengan rakan strategik untuk memberikan promosi di seluruh Malaysia.
Pengguna hanya perlu membuat deposit minimum RM2,000 ke dalam Tabung Simpanan (Savings Jar) atau Akaun Simpanan Boost Bank, di mana mereka boleh menerima kadar faedah sehingga 3.6 peratus setiap tahun bermula sekarang hingga 31 Ogos 2024.