PUTERA.com

Sumber Rujukan Teknologi Maklumat & Perniagaan Internet

Konsep Maya Diperkenalkan Di Sekolah Dua Tahun Lagi

IBU bapa boleh mengikuti perkembangan pelajaran anak-anak mereka menerusi konsep maya yang akan diperkenalkan Kementerian Pelajaran di sekolah-sekolah dalam dua tahun lagi, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata konsep itu, yang akan dilaksanakan sebagai projek perintis di beberapa sekolah mulai tahun depan, antara lain membolehkan ibu bapa berinteraksi dengan pihak sekolah menerusi persidangan video.

Projek perintis itu akan dikenali sebagai “Virtual Learning” atau Pembelajaran Maya, katanya dan menurutnya konsep itu dicontohi daripada konsep yang diamalkan di negara maju seperti Korea Selatan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata ibu bapa boleh mengetahui maklumat lanjut mengenai prestasi pelajaran anak mereka dengan berhubung terus dengan guru-guru menerusi Internet.

“Berdasarkan maklumat ini, ibu bapa boleh terus mendapatkan nasihat guru berdasarkan capaian prestasi pelajar,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan mengejut di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam lawatannya ke Korea Selatan pada Julai tahun lepas, Muhyiddin turut meninjau sistem pendidikan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi negara itu, National Education Information System (NEIS), yang membangunkan jaringan komputer untuk menghubungkan semua sekolah.

Jaringan itu membolehkan ibu bapa memantau perkembangan anak-anak di sekolah serta berhubungan dengan guru menerusi internet.

Terdahulu, dalam ucapannya kepada guru dan ibu bapa di sekolah itu, Muhyiddin berkata ibu bapa perlu melibatkan diri dalam sistem sekolah anak-anak mereka kerana sudah dibuktikan di dalam negara ini, penglibatan ibu bapa banyak membantu pelajar dan sekolah itu sendiri berjaya.

“Di banyak negara yang dilawati, yang saya temui menyambut saya dahulu bukanlah guru tetapi ibu bapa. Macam di Australia, bila ditanya, ibu bapa ini memberitahu “kami datang ke sini untuk membantu sekolah kami kerana anak-anak kami belajar di sekolah ini,” katanya.

Beliau menekankan bahawa tidak ada yang paling utama selain pelajaran buat anak-anak kerana sejarah negara ini sudah membuktikan bahawa pelajaran mampu mengubah nasib seseorang atau bangsa.

“Semasa (sebelum) merdeka, 70 peratus rakyat miskin kerana kita dijajah… walaupun ada sekolah tetapi tidak ada bantuan dari penjajah. Selepas merdeka, penyelesaian kepada soal kemiskinan itu ialah ilmu, dasar pelajaran negara kita ialah untuk membantu rakyat keluar dari kemiskinan itu dan hari ini peratusan itu telah menurun,” katanya.

Muhyiddin berkata di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN), banyak bidang sudah dikuasai oleh anak-anak Malaysia hasil daripada pendidikan berkualiti.

Beliau turut menasihati pengurusan sekolah dan ibu bapa supaya turut mengutamakan aktiviti kokurikulum dan sukan.

“Ada sekolah yang tidak kisahkan keadaan padang, tidak kisah jika sekolah itu tiada gelanggang sukan kerana mereka terlalu mementingkan pencapaian pelajaran. Ada ibu bapa pula, ada yang menganggap aktiviti kurikulum menganggu kelas tuisyen anak-anak.

“Sikap ini merupakan satu kesilapan kerana sukan membantu membentuk sahsiah pelajar seperti sifat hormat dan bertanggungjawab,” katanya.

 

 

Tinggalkan Balasan

Prof Jenin
IT Expert
ChatBot