PUTERA.com

Sumber Rujukan Teknologi Maklumat & Perniagaan Internet

Ekonomi Digital Malaysia Dijangka Lonjak 25.5% Menjelang 2025

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, melaporkan bahawa ekonomi digital Malaysia dijangka menyumbang 25.5% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang penghujung 2025, meningkat dari 23% pada masa kini. Menurutnya, peningkatan ini mungkin boleh menjadi lebih tinggi dengan pelaksanaan infrastruktur menyeluruh seperti peluasan capaian Internet yang memudahkan akses untuk orang ramai.

“Ia bergantung kepada kepantasan teknologi yang kita gunakan dan usaha kita ke arah meningkatkan ekonomi digital negara. Tetapi saya rasa itu adalah satu perkara yang boleh kita capai,” kata Gobind ketika merasmikan MYDINPay di Mydin Subang Jaya baru-baru ini.

Potensi Besar untuk Ekonomi Malaysia

Dalam ucapannya, Gobind menekankan bahawa ekonomi digital yang semakin pesat berkembang mempunyai potensi besar untuk membawa Malaysia ke peringkat ekonomi global, serta meningkatkan pendapatan negara. Oleh itu, beliau menyeru para pemain industri untuk mencontohi langkah MYDIN dalam mengadaptasi perkembangan ekonomi semasa dan menjadi agen penyuntik kepada pertumbuhan ekonomi digital negara.

Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin, turut merasmikan inisiatif ini yang menunjukkan kesediaan MYDIN untuk berubah kepada era digital dan membuktikan komitmen syarikat terhadap landskap fintech yang sedang pesat berkembang.

 

MYDIN ke Arah Digitalisasi Penuh

“Kami komited dalam memastikan pelanggan setia kami mendapat pengalaman membeli-belah yang menyenangkan melalui inovasi perniagaan yang memberi kemudahan kepada mereka,” katanya. MYDIN yang telah berada di persada perniagaan lebih daripada enam dekad kini terus menyesuaikan operasinya mengikut perubahan semasa kerana keperluan pelanggan sentiasa berubah.

Inovasi fintech ini bertujuan untuk menjadi penanda aras baharu dalam kemudahan runcit dan penglibatan digital. Bersempena pelancaran MYDINPay ini, MYDIN menawarkan baucar RM5 kepada 1,000 pengguna aplikasi yang terawal. Selain itu, 3,000 pelanggan pertama yang membelanjakan RM150 ke atas menggunakan aplikasi tersebut di mana-mana cawangan MYDIN layak menikmati pulangan tunai sebanyak lima peratus.

 

Tinggalkan Balasan

Prof Jenin
IT Expert
ChatBot