PUTERA.com

Sumber Rujukan Teknologi Maklumat & Perniagaan Internet

Kawal Selia Rangkaian Tanpa Wayar Anda dengan Mamakspot !

APLIKASI Internet secara wayarles atau WiFi kini telah menjadi trend di Malaysia. Jika dahuluhotspot atau kawasan yang mempunyai capaian wayarles berteknologi IEEE 802.11 ini terhad di kawasan elit dan hanya dikunjungi golongan kelas atasan sahaja, kini ia hampir boleh didapati di mana-mana termasuk kafe minuman, pusat karaoke malah restoran Mamak turut tidak ketinggalan.

Tidak semua penyedia perkhidmatan wayarles ini mahukan kemudahan ini digunakan oleh sesiapa sahaja sewenang-wenangnya. Sebagai contoh, pemilik restoran pastinya mahu memastikan hanya pelanggan mereka sahaja dibenarkan mengakses sistem wayarles mereka sebagai satu cara mereka menghargai pelanggan dan dianggap satu strategi perniagaan yang baik untuk menarik pelanggan.

mamakspot

Walaupun terdapat banyak produk wayarles profesional yang menawarkan ciri pengawalan akses dan pengesahan pengguna, namun kosnya yang tinggi membuatkannya hanya mampu dimiliki oleh organisasi besar sahaja.

Salah satu penyelesaian masalah ini boleh diperoleh secara percuma di Internet iaitu MamakSpot. Teknologi yang dibangunkan oleh anak tempatan ini merupakan satu sistem lengkap untuk mengurus pengguna wayarles dan juga Wired LAN berteraskan Open Source atau Kod Sumber Terbuka. Aplikasi ini mendapat namanya apabila ia cuba diperkenalkan di kedai-kedai Mamak.

“Saya menggunakan akses Internet jalur lebar di rumah dan wayarles untuk menghubungkan semua komputer di dalam rumah. Namun, saya dapati ramai pula pengguna dari luar yang turut mengakses wayarles rumah saya. Jadi, untuk menapis penggunaan Internet tanpa wayar, saya mula terfikir untuk membenarkan mereka melayari Internet menggunakan wayarles saya tetapi dengan syarat mereka perlu terlebih dahulu login dan mereka diberikan penggunaan percuma selama lima jam setelah mendaftar,” jelas Azril Nazli Alias, pembangun aplikasi MamakSpot.

Jelas Azril yang bertugas sebagai pembangun web dengan Jaring Sdn. Bhd., apabila seseorang pengguna cuba menyambung ke SSID (identiti sesebuah rangkaian wayarles) MamakSpot, mereka hanya boleh mengakses laman web yang ditetapkan sahaja, dan sekiranya mereka menaipkan alamat lain, mereka akan dihalang oleh sistem MamakSpot yang menghendaki mereka mendaftar masuk ke dalam sistem terlebih dahulu. Pengguna yang mendaftar masuk boleh melihat penggunaan Internetnya melalui panel kawalan.

Operator atau penyedia khidmat wayarles juga mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap penggunanya. Selain dapat menetapkan jumlah pengguna yang online pada satu-satu masa, mereka juga boleh mengawal jumlah jam yang dibenarkan serta mengawal kelajuan danbandwidth Internet setiap pengguna.

Menurut Azril, pembangunan MamakSpot ini dijalankan secara sampingan pada waktu lapang. Untuk ujian lapangan, beliau menggunakan khidmat dua orang rakannya yang merupakan jurutera rangkaian wayarles iaitu Nazril Hanif dan Faisal Ismail.

Tidak keterlaluan jika dikatakan MamakSpot dibangunkan hampir keseluruhannya menggunakan Kod Sumber Terbuka bagi tujuan meminimumkan kos. Ia menggunakan sistem operasi Linux Centos dan Red Hat dan pelayan web Apache. MySQL pula dipilih sebagai sistem pangkalan datanya manakala FreeRadius dipilih sebagai pelayan RADIUS.

Dari sudut pengaturcaraan pula, ia dibangunkan menggunakan PHP, CakePHP FrameWork dan PHPMyAdmin. Sistem operasi wayarles pula menggunakan AP DD-WRT, menggantikan sistem operasi asal yang agak kurang bertenaga. Bagi melindungi rangkaian MamakSpot pula, ia menggunakan dinding api (firewall) IPTables. Coova Chilli pula digunakan sebagai Captive Portal sistem ini.

MamakSpot hanya memerlukan perkakasan yang agak asas. Ia hanya memerlukan komputer Intel Pentium dengan ingatan 512MB RAM. Antara keperluan lain adalah storan bersaiz 80GB, pemacu cakera DVD, 2 kad antaramuka rangkaian, 2 unit AP (Access Point) LinkSys WRT54GL yang boleh diubahsuai dengan menggantikan sistem operasinya, langganan jalur lebar, router ADSL dan juga unit mobile UPS (bagi tujuan ujian lapangan sahaja).

Pembangunan utama ialah kos masa yang digunakan bagi membangunkan perisian kawalan yang menggunakan gabungan FreeRadius, MySQL, CoovaChilli dan PHP. PHP digunakan untuk mengawal pangkalan data MySQL untuk tujuan simpanan data dan juga accounting. Coova Chilli pula menggunakan data yang diberikan oleh FreeRadius untuk mengawal pengguna manakala operator akan mengawal pengguna melalui laman pengurusan MamakSpot.

Antara keistimewaan MamakSpot berbanding perisian pengurusan wayarles lain:

n Kod Sumber Terbuka

Kesemua perisian yang digunakan adalah percuma dan mempunyai kestabilan pelayan sebenar.

n Berasaskan web

Kawalan pengguna menggunakan Web Interface, jadi operator hanya perlukan sambungan Internet untuk mengawal penggunaan pengguna.

n Pelayan untuk mengawal banyak AP

Jika pelayan Mamakspot anda berada di Kuala Lumpur (KL) dan anda ingin memasang AP di Selangor contohnya, AP anda hanya perlu diubah konfigurasi untuk membaca data dari pelayan di KL.

n Landing Page

MamakSpot menggunakan PHP/MySQL. Jadi, anda boleh mengubah Landing Page anda mengikut kreativiti dan boleh wujudkan komuniti pengguna wireless anda.

n Boleh digabungkan dengan server filter

Jika sistem ini dibangunkan untuk sekolah, Mamakspot boleh berfungsi sebagai pelayan filter untuk menghalang laman web porno, judi dan sebagainya.

Bagi mereka yang ingin memuat turun aplikasi MamakSpot atau mengubahsuai MamakSpot mengikut cita rasa mereka, anda boleh memuat turun di http://mamakspot.blogspot.com . Tutorial lengkap dan juga video boleh diperoleh dari laman ini bagi membantu mereka yang berminat membangunkan sistem wayarles dengan ciri kawalan pengguna.

Adanya perkhidmatan wayarles di sesebuah tempat kini membezakan status celik teknologi maklumat sesebuah perniagaan itu. Golongan muda mudi dan profesional khususnya akan memilih tempat untuk bersantai yang dilengkapi kemudahan ini kerana mereka dapat mengakses e-mel, melayari Internet dan melakukan tugasan pejabat dari luar.

Layari : http://mamakspot.blogspot.com

Sumber : KOSMO ! & Bro Azril Nazli/Bazet

By slaughters
Published: October 8, 2008

Tinggalkan Balasan

Prof Jenin
IT Expert
ChatBot