Menteri Komunikasi Tekankan Kepentingan Tanda ‘Generated by AI’ pada Kandungan Media Sosial
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menegaskan bahawa platform media sosial perlu meletakkan notis ‘Kecerdasan Buatan (AI)’ pada setiap kandungan yang dihasilkan menggunakan teknologi AI.
Inisiatif ini bertujuan mengelakkan insiden tidak diingini seperti penyebaran maklumat palsu dan manipulasi data.
Fahmi menyatakan bahawa semua platform media sosial wajib bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku di platform mereka.
“Sekiranya sesuatu bahan itu telah dihasilkan melalui Generatif AI, seharusnya platform-platform ini meletakkan tanda dengan notis ‘Generated by Artificial Intelligence’.
Dengan adanya tanda ini, pengguna media sosial akan tahu kandungan tersebut adalah hasil AI,” katanya.
Lesen Media Sosial dan Isu Terkini
Fahmi turut menyebut bahawa kementerian berhasrat untuk melesenkan semua platform media sosial supaya mereka lebih bertanggungjawab sekiranya berlaku insiden-insiden seperti ini.
Kenyataan ini muncul setelah insiden pempengaruh media sosial terkenal, Khairul Aming, menjadi mangsa video palsu yang menggunakan teknologi Deep Fake.
“Kita ingin mengelak insiden ini daripada terus berulang kerana ketika ini platform media sosial dilihat seolah-olah ‘lepas tangan’,” ujarnya lagi.
Penjelasan Isu Graf Pertukaran Nilai Matawang Ringgit
Selain itu, Fahmi Fadzil juga menjelaskan bahawa beliau tidak pernah mengeluarkan arahan kepada Google untuk menyahaktifkan ciri graf pertukaran nilai matawang ringgit seperti yang didakwa oleh seorang pengguna di platform X.
“Saya tidak pernah mengarahkan Google menurunkan apa yang disebutkan sebagai Foreign Exchange Tool atau Widget bila kita buat carian di Google.
Namun, kita perlu ingat pada bulan Mac lepas berlaku satu insiden mengenai percanggahan maklumat daripada pemberi data kepada Google, yang berbeza dengan apa yang dirakam di Bank Negara,” katanya.
Fahmi mengulas lanjut bahawa pihak Google telah memaklumkan bahawa sejak bulan Mac hingga kini, terdapat beberapa perkara yang sedang diteliti dengan pemberi data, dan mereka masih belum berpuas hati dengan tahap keyakinan yang ada.
“Jadi kita serahkan dahulu kepada pihak Google,” tambahnya.
Penjelasan ini diberikan susulan kenyataan seorang pengguna di platform X yang mendakwa Fahmi telah memberi arahan kepada Google untuk menurunkan Widget tersebut, yang telah mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna laman berkenaan.
Dengan tindakan dan penjelasan ini, diharap dapat mewujudkan tadbir urus digital yang lebih bertanggungjawab dan mencegah penyalahgunaan teknologi dalam kalangan pengguna media sosial di Malaysia.