Pengawal peribadi dalam telefon bimbit
Gunakan aplikasi EARs sebaik mengenalpasti diri anda dalam bahaya.
Benar kata orang malang tidak berbau. Dua situasi yang diketengahkan mencerminkan keadaan jenayah dan kemalangan yang boleh berlaku pada bila-bila masa.
Statistik menunjukkan sebanyak 1,088 kemalangan kenderaan dan 10 kes rogol dilaporkan berlaku setiap hari di negara ini.
Ia menunjukkan kadar jenayah dan situasi kecemasan semakin meningkat.
Justeru, semua pihak perlu lebih berhati-hati dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga terutamanya wanita.
Mereka perlu sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan situasi kecemasan. Bak kata pepatah, malang tidak berbau. Ia boleh terjadi pada bila-bila masa dan di mana-mana saja.
Jika dalam situasi kecemasan atau terdapat cubaan merogol dan sebagainya apa yang boleh dilakukan oleh kaum wanita terutamanya untuk menyelamatkan diri? Adakah cukup sekadar berlari sambil menjerit minta tolong?
Bagaimana pula jika kemalangan kenderaan? Bagaimana mahu memastikan pertolongan boleh diperolehi dengan segera?
Mungkin persoalan ini dapat dijawab sekiranya kita ada pengawal peribadi atau bodyguard yang sentiasa berada di sisi bagi memantau keselamatan kita.
Tetapi dalam dunia yang serba moden dan canggih ini pelbagai kemungkinan boleh diperoleh dalam menjaga keselamatan diri.
Yang penting setiap individu itu perlu mempersiapkan diri bagi berhadapan dengan situasi bahaya dan cemas.
Mungkin ilmu seni mempertahankan diri mampu menjadi pelindung apabila diserang atau membawa peralatan seperti semburan lada dan belantan.
Tetapi dengan perkembangan teknologi kini gajet yang kecil juga mampu menjadi bodyguard yang berkesan kepada golongan wanita.
Itu peranan yang ditawarkan oleh EARs (Emergency Assistance & Response Services).
Penggunanya hanya perlu membawa satu gajet khas dan apabila berada dalam situasi cemas atau bahawa mereka hanya perlu menekan butang amaran atau panik di telefon masing-masing.
Sebaik butang itu ditekan bantuan akan dihantar serta-merta.
EARs merupakan perkhidmatan keselamatan peribadi dan bantuan automotif seluruh negara yang sentiasa bersedia untuk membantu mereka yang tersesat, terkandas atau memerlukan pertolongan kecemasan peribadi atau automotif.